Judul : IBU
Karya : SITI
BASZARIAH BINTI RAMLI
"Apa nak jadi dengan kau ni
Along? Bergaduh! Bergaduh! Bergaduh! Kenapa kau degil sangat ni?
Tak boleh ke kau buat sesuatu yang baik, yang tak menyusahkan
aku?" Marah ibu.
Along hanya membungkam. Tidak
menjawab sepatah apapun.
"Kau tu dah besar Along.
Masuk kali ni dah dua kali kauulang ambil SPM, tapi kauasyik buat hal di
sekolah. Cuba lah kauikut macam Angah dengan Alang tu. Kenapa kau
susah sangat nak dengar nasihat orang'. Leter ibu lagi.
Suaranya kali ini sedikit sebak
bercampur marah. Along terus membatukan diri. Tiada sepatah kata pun yang
keluar dari mulutnya. Tiba-tiba dia melihat ibu bergegas pergi mencari sesuatu
dan kembali semula dengan rotan di tangannya. Kali ini darah Along mula
menderau. Dia berdoa dalam hati agar ibu tidak memukulnya lagi seperti selalu.
"Sekarang kau cakap, kenapa kau
bergaduh tadi? Kenapa kau pukul anak pengetua
tu? Cakap Along, cakap!" Jerkah ibu.
Along semakin berdebar-debar namun
dia tidak dapat berkata-kata. Suaranya bagai tersekat di kerongkong. Malah, dia
juga tidak tahu bagaimana hendak menceritakan hal sebenar. Ibu marah benar.
"Jadi betul lah kau
yang memulakan pergaduhan? Nanti kau, suka sangat cari penyakit, sekarang nah,
rasakan!" Si ibu merotan Along berkali-kali dan berkali-kali jugaklah Along
menjerit kesakitan.
"Sakit bu, saki Maafkan Along
bu, Along berjanji tidak buat lagi. Bu, jangan pukul Bu. Sakit Bu."
Along meraung meminta belas Ibu agar
tidak merotannya lagi.
"Tahu rupanya sakit, kau
bergaduh di sekolah tidak pula rasa sakit?" Balas ibu lagi.
Kali ini semakin kuat pukulan Ibu
menyirat tubuh Along yang kurus itu.
"Bu, ampunkan Along Bu. Bukan
Along yang memulakan pergaduhan itu. Bukan
Along Bu. Sakit Bu!" Rayu Along dengan suara yang tersekat-sekat menahan
pedih.
Along memaut kaki Ibu. Berkali-kali
dia memohon maaf daripada ibunya namun siratan rotan tetap mengenai tubuhnya.
Along hanya mampu berdoa. Dia tidak berdaya lagi menahan tangisnya. Tangis
bukan kerana sakitnya dirotan, tapi kerana memikirkan tidak jemukah si ibu
merotannya setiap hari. Setelah hatinya puas, Ibu mula berhenti merotan Along.
Tangan Along yang masih memaut kakinya itu di tepis kasar. Along menatap mata Ibu.
Ada manik-manik kaca yang bersinar di kelopak mata Ibu. Along memandang dengan
sayu. Hatinya sedih kerana telah membuatkan ibunya menangis lagi kerananya. Malam
itu, Along berjaga sepanjang malam.. Entah mengapa matanya tidak dapat
dilelapkan. Dia asyik teringatkan peristiwa dirotan oleh Ibu petang tadi.
Begitulah yang berlaku apabila Ibu memarahkannya. Tapi kali ini marah Ibu
sangat memuncak. Mungkin kerana dia menumbuk anak pengetua sewaktu di sekolah
tadi menyebabkan pengetua hilang sabar dan memanggil ibunya ke sekolah untuk
membuat aduan kesekian kalinya. Sewaktu di bilik pengetua, Along sempat menjeling
Ibu di sebelah..Namun, dia tidak diberi kesempatan untuk bersuara. Malah, semua
kesalahan itu di dilemparkan kepadanya seorang.
Si Malik anak pengetua itu bebas
seolah-olah sedikit pun tidak bersalah dalam hal ini. Along mengesat sisa-sisa
air mata yang masih bertakung di kelopak matanya. Dia berlalu ke meja tulis
mencapai minyak sapu lalu disapukan pada bekas luka yang berbirat di tubuhnya
dek rotanan Ibu tadi. Perlahan-lahan dia menyapu ubat namun masih tetap terasa
pedihnya. Walaupun sudah biasa dirotan, namun tidak seteruk kali ini.
Along merebahkan badannya.
Dia cuba memejamkan mata namun masih tidak mahu lelap. Seketika wajah Ibu
menjelma di ruang ingatannya. Wajah Ibu suatu ketika dahulu sangat mendamaikan
pada pandangan matanya. Tetapi, sejak dia gagal dalam SPM, kedamaian itu
semakin pudar dan hanya kelihatan biasa dan kebencian di wajah tua itu. Apa
yang dibuat serba tidak kena pada mata Ibu. Along sedar, dia telah mengecewakan
hati ibu dahulu kerana mendapat keputusan yang corot dalam SPM. Tetapi Along
tidak pernah ambil hati dengan sikap Ibu walau adakalanya kata-kata orang tua
itu menyakiti hatinya. Along sayang pada Ibu. Dialah satu-satunya Ibu yang
Along ada walaupun kasih Ibu tidak semekar dahulu lagi. Along mahu meminta
maaf. Dia tidak mahu menjadi anak derhaka. Fikirannya terlalu cacamarba, dan
perasaannya pula semakin resah gelisah. Akhirnya, dalam kelelahan melayani
perasaan,Along terlelap juga. Seminggu selepas peristiwa itu, Ibu masih tidak mahu
bercakap dengannya. Jika ditanya, hanya sepatah dijawab ibu. Itupun acuh tidak
acuh sahaja. Pulang dari sekolah, Along terus menuju ke dapur. Dia mencangak
mencari Ibu kalau-kalau orang kesayangannya itu ada di situ. Along tersenyum
memandang Ibu yang terbongkok-bongkok mengambil sudu di bawah para dan kemudian
mencacap makanan yang sedang dimasak itu. Dia nekad mahu menolong.
Mudah-mudahan usahanya kali ini berjaya mengambil hati Ibu.
Namun, belum sempat dia melangkah ke
dapur, adik perempuannya yang baru pulang daripada mengaji terus meluru ke arah
Ibu. Along terperanjat dan cuba berselindung di sebalik pintu sambil
memerhatikan mereka.
"Ibu, masak apa ni? Banyaknya
lauk, ibu nak buat kenduri ye?" Tanya Atih kehairanan.
Dia tidak pernah melihat ibunya
memasak makanan yang pelbagai jenis seperti itu. Semuanya enak-enak belaka. Ibu
yang lincah menghiris sayur hanya tersenyum melihat keletah anak bongsunya itu.
Sementara Along di sebalik pintu terus memerhatikan mereka sambil memasang
telinganya.
"Ibu, Atih nak rasa ayam ni
satu boleh?"
"Eh, jangan, nanti dulu! Ibu
tau Atih lapar, tapi tunggulah Kak Ngah dengan Alang balik dulu. Nanti kita
makan sekali. Pergi naik atas mandi dan tukar baju dulu!." Ibu bersuara
lembut. Along menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan"
Anak-anak kesayangan Ibu nak balik
rupanya" bisik hati kecil Along. "Kak Ngah dengan Alang nak balik ke
ibu?" Soalnya lagi. Atih masih belum berganjak dari dapur. Si ibu
mengangguk sambil tersenyum.Di wajahnya jelas menampakkan kebahagiaan.
"Patutlah Ibu masak lauk
banyak-banyak. Atih berasa pelik. Kenapa apabila Along balik, ibu tak masak
macam ni pun?" Along terkejut mendengar soalan Atih.
Namun dia ingin sekali tahu apa
jawapan dari ibunya.
"Alongkan hari-hari balik
rumah? Kak Ngah dengan Alang lain, diorang kan duduk asrama, balik pun sebulan
sekali je!" Terang si ibu.
"Tapi, ibu tak penah masak lauk
macam ni untuk Along pun!" Soal Atih lagi. Dahinya sedikit berkerut dek
kehairanan. Along mula terasa sebak. Dia mengakui kebenaran kata-kata adiknya
itu namun dia tidak mahu ada perasaan dendam atau marah walau secalit pun pada Ibu
yang sangat disayanginya.
"Sudahlah, , pergi mandi cepat.
Sekejap lagi kita pergi ambil Kak Ngah dengan Alang di stesen bas," arah ibu.
Dia tidak mahu Atih mengganggu
kerja-kerjanya di dapur dengan menyoal yang bukan-bukan. Malah Ibu juga tidak
senang jika Atih terus bercakap tentang Along. Pada Ibu, Along anak yang
derhaka yang selalu menyakiti hatinya. Apa yang dikata tidak pernah
didengarnya. Selalu pula membuat hal di sekolah mahupun di rumah. Disebabkan
itulah Ibu semakin hilang perhatian pada Along dek kerana marah dan kecewanya.
Selepas ibu dan Atih keluar, Along juga turut keluar. Dia menuju ke Pusat
Bandar sambil jalan-jalan buat menghilangkan tekanannya. Tiba di satu kedai,
kakinya tiba-tiba berhenti melangkah. Matanya terpaku pada sepasang jubah putih
berbunga ungu yang di lengkapi dengan tudung bermanik.
"Cantiknya, kalau Ibu pakai tentu
cantik."
Dia bermonolog sendiri. Along
melangkah masuk ke dalam kedai itu. Sedang dia membelek-belek jubah itu,
bahunya tiba-tiba disentuh seseorang. Dia segera menoleh. Rupa-rupanya itu
Fariz, sahabatnya.
"Apa yang kaubuat di sini?" tanya Along ingin tahu sambil bersalaman
dengan Fariz.
"Aku tolong jaga butik kakak
aku. Kau pulak buat apa kat sini?" soalnya pula. "Aku tidak ada apa-apa, cuma hendak menengok-nengok baju
ni. Aku ingat nak beli dan hadiahkan kepada mak aku" Jelas Along jujur.
"Wan, baguslah, Azam. Kalau kau
hendak membelinya, aku beri potongan harga 50%. Macam mana?" Terlopong
mulut Along mendengar tawaran Fariz itu.
"Betulkah, Riz? Nanti marah
kakak kau!" Along meminta kepastian. "Untuk kawan baik aku, kakak aku
mesti bagi punya!" Balas Fariz meyakinkannya. "Tapi aku kena beli
minggu depan. Aku tak cukup duit sekarang ni." Cerita Along agak
keseganan. Fariz hanya menepuk bahunya sambil tersenyum. "Kau ambik dulu,
lepas tu kaubayar sikit-sikit." Kata Fariz . Along hanya menggelengkan
kepala tanda tidak setuju. Dia tidak mahu berhutang begitu. Jika ibunya tahu, mesti
dia dimarahi silap-silap dipukul lagi.
"Kau ada berapa ringgit
sekarang ni?" soal Fariz yang benar-benar ingin membantu sahabatnya itu.
Along menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan dompet berwarna hitam yang
semakin lusuh itu.
"Tak sampai sepuluh ringgit pun
Riz. Tidak mengapalah, aku datang membelinya pada minggu depan. Jangan kaujual
dulu baju ini." pesan Along bersungguh-sungguh. Fariz hanya mengangguk
senyum. Hari semakin lewat. Jarum pendek sudah melangkaui nombor tujuh. Setelah
tiba, kelihatan Angah dan Alang sudah berada di dalam rumah. Mereka sedang
rancak berbual dengan Ibu di ruang tamu. Dia menoleh ke arah mereka seketika
kemudian menuju ke dapur. Perutnya terasa lapar sekali kerana sejak pulang dari
sekolah petang tadi dia belum makan lagi. Penutup makanan diselak. Syukur masih
ada sisa lauk-pauk yang Ibu masak tadi bersama sepinggan nasi di atas
meja.Tanpa berlengah dia terus makan sambil ditemani Si Tomei, kucing
kesayangan arwah ayahnya.
"Baru nak balik waktu ni? Buat
hal apa lagi kat luar tu?" Soalan ibu yang bernada sindir itu tiba-tiba
membantutkannya untuk menghabiskan sisa makanan di dalam pinggan.
"Kenapa tidak makan di luar saja?
Tau pulak, apabila lapar nak balik rumah" Leter ibu lagi. Along hanya
diam. Dia terus berusaha mengukir senyum dan membuat muka bersahaja seperti
tidak ada apa-apa yang berlaku. Tiba-tiba Angah dan Alang menghampirinya di
meja makan.
Mereka berdiri di sisi Ibu yang
masih memandang ke arahnya seperti tidak berpuas hati.
"Along ni teruklah. Suka buat Ibu
susah hati. Disebabkan oleh Along,Ibu kena marah dengan pengetua " Marah
Angah, adik perempuannya yang sedang belajar di MRSM. Along mendiamkan diri.
Diikutkan hati, mahu saja dia menjawab kata-kata adiknya itu tetapi melihat
kelibat Ibu yang masih di situ, dia mengambil jalan untuk membisu sahaja.
"Along! Kalau tidak suka
belajar, berhenti sahajalah. Buat sahaja kerja lain yang berfaedah daripada
menghabiskan duit Ibu” Sampuk Alang, adik lelakinya yang menuntut di sekolah
berasrama penuh. Kali ini kesabarannya benar-benar tercabar. Hatinya semakin
terluka melihat sikap mereka semua. Dia tahu, pasti Ibu mengadu kepada mereka.
Along mengangkat mukanya memandang wajah Ibu. Wajah tua Ibu masam mencuka.
Along tidak tahan lagi. Dia segera mencuci tangan dan meluru ke biliknya.
Perasaannya jadi kacau. Fikirannya bercelaru. Hatinya pula jadi tidak keruan
memikirkan kata-kata mereka.
Along sedar, kalau dia menjawab,
pasti Ibu akan semakin membencinya. Along nekad, esok pagi-pagi, dia akan
tinggalkan rumah. Dia akan mencari kerja di Bandar. Kebetulan cuti sekolah
selama seminggu bermula esok. Seperti yang dinekadkan, pagi itu selesai solat
subuh, Along terus bersiap-siap dengan membawa beg sekolah berisi pakaian,
Along keluar daripada rumah tanpa sebarang ucapan selamat. Dia sekadar
menyelitkan nota buat Ibu menyatakan bahawa dia mengikuti program sekolah
berkhemah di hutan selama seminggu.
Niatnya sekadar mahu mencari
ketenangan selama beberapa hari. Along terpaksa berbohong agar ibunya tidak
bimbang dengan tindakannya itu. Along menunggang motorsikalnya terus ke Pusat
Bandar untuk mencari pekerjaan. Nasib menyebelahinya. Tengah hari itu, dia
diterima bekerja dengan Abang Joe sebagai pembantu di bengkel membaiki
motorsikal. Upahnya lima belas ringgit sehari. Along rasa sangat bersyukur dan
gembira. Gembira kerana tidak lama lagi, dia dapat membelikan jubah untuk ibu.
Hari ini hari keempat Along keluar daripada rumah. Ibu sedikit gelisah
memikirkan apa-apa yang dilakukan Along di luar. Dia juga berasa agak rindu
dengan Along. Entah mengapa hati keibuannya agak tersentuh setiap kali
memandang bilik Along. Tetapi kerinduan dan kerisauan itu terubat apabila
melihat gurau senda anak-anaknya yang lain. Seperti hari-hari yang sebelumnya,
Along bekerja keras membantu Abang Joe di bengkelnya. Sudah lebih 10 hari Along
bekerja di situ. Sikap Abang Joe yang baik dan kelakar itu sedikit sebanyak
mengubat hatinya yang luka. Abang Joe baik. Dia banyak membantu Along antaranya
menumpangkan Along di rumahnya dengan percuma.
"Azam, kalau aku tanya kau
jangan marah okay?" Soal Abang Joe tiba-tiba sewaktu mereka menikmati nasi
bungkus tengah hari itu.
"Serius bunyinya Abang
Joe?" Along kehairanan. "Sebenarnya, kaulari dari rumah?" Along
tersedak mendengar soalan itu. Nasi yang disuap ke dalam mulutnya tersembur
keluar. Matanya juga kemerah-merahan menahan sedakan. Melihat keadaan Along itu, Abang Joe segera
menghulurkan air.
"Kenapa lari dari rumah?
Bergaduh dengan keluarga?" Tanya Abang Joe lagi cuba menduga. Soalan Abang
Joe itu benar-benar membuatkan hati Along sebak. Along mendiamkan diri. Dia
terus menyuap nasi ke dalam mulut dan mengunyah perlahan-lahan. Dia cuba
menundukkan mukanya dan menahan perasaan sedih. "Azam, kau ada cita-cita?" Abang Joe mengubah
topik setelah melihat reaksi Along yang kurang selesa dengan soalannya tadi.
"Ada!" Jawab Along pendek.
"Kau nak jadi apa satu masa
nanti? Jurutera? Doktor? Cikgu? Pemain bola?
Mekanik
macam aku atau apa?" Along menggeleng-gelengkan kepala.
"Semuanya tidak. Cuma satu saja,
saya hendak mati dalam pangkuan ibu saya." Jawab Along disusuli ketawanya.
Abang Joe melemparkan tulang ayam ke arah Along yang tidak serius menjawab soalannya
itu.
"Ala, gurau saja, Abang Joe Sebenarnya, saya nak bawa ibu saya ke Mekah
dan saya nak jadi anak yang soleh!" Perlahan sahaja suaranya namun masih
jelas
didengari
telinga Abang Joe. Abang Joe tersenyum mendengar jawapannya. Dia bersyukur di
dalam hati kerana mengenali seorang anak yang begitu baik. Dia sendiri sudah
bertahun-tahun membuka bengkel itu namun belum pernah ada cita-cita mahu
menghantar ibu ke Mekah. Setelah tamat waktu rehat, mereka menyambung kerja
masing-masing. Tidak seperti selalu, petang itu Along kelihatan banyak
berfikir. Mungkin terkesan dengan soalan Abang Joe sewaktu makan tadi. "Abang Joe, hari ini, saya nak
balik rumah. terima kasih banyak kerana jaga saya beberapa hari ni" Ucap
Along sewaktu selesai menutup pintu bengkel. Abang Joe yang sedang mencuci
tangannya hanya mengangguk. Hatinya gembira kerana akhirnya anak muda itu mahu
pulang ke pangkuan keluarga. Sebelum berlalu, Along memeluk lelaki bertubuh
sasa itu. Ini menyebabkan Abang Joe terasa agak sebak. "Abang Joe, jaga diri baik-baik. Barang-barang yang saya
tinggal kat rumah Abang Joe tu, saya hadiahkan untuk Abang Joe" Kata Along
lagi.
"Tapi, kau boleh datang
bila-bila masa yang kausuka ke rumah aku" pinta Abang Joe. Dia risau kalau-kalau Along
menyalah-anggap tentang soalannya tadi. Along hanya senyum memandangnya.
"Tidak mengapa, saya beri kepada
Abang Joe. Abang Joe, terima kasih banyak ye! Saya rasa tak mampu nak balas
budi baik abang. Saya doakan perniagaan abang ni semakin maju" Balasnya
dengan tenang. Sekali lagi Abang Joe memeluknya bagai seorang abang memeluk
adiknya yang akan pergi jauh. Berbekalkan upahnya, Along segera menuju ke butik
kakak Fariz untuk membeli jubah yang diidamkannya itu. Setibanya di sana ,
tanpa berlengah dia terus ke tempat di mana baju itu disangkut.
"Hey Azam, mana kau pergi mana?
Hari tu mak engkau ada bertanya pasal kau. Kau lari dari rumah ke?" Soal
Fariz setelah menyedari kedatangan sahabatnya itu. Along hanya tersengeh
menampakkan giginya.
"Azam, mak kaumarah kau lagi
ke? Kenapa kau tak bagitau hal sebenar pasal kes kautumbuk Malik tu?"
"Tidak mengapalah, perkara dah
berlalu.lagipun, aku tak nak ibu aku terasa hati kalau dia dengar tentang
perkara ni”, Terang Along dengan tenang.
"Kau jadi mangsa Azam. Tengok,
kalau kau tak bagitau, mak kauingat kau yang bersalah”, kata Fariz lagi.
"Tak mengapalah Riz, aku tidak mahu ibu aku bersedih. Lagipun aku tidak
kisah, aku sangat sayangkan Ibu aku!"
"Azam."
"Aku tidak mahu menyusahkan ibu
aku lagi. Aku tidak mahu dia bersedih dan mengingat kisah itu lagi" Jelas
Along memotong kata-kata sahabat yang masih tidak berpuas hati itu.
"Aku hendak membeli jubah ini,
Riz. Kautolong balutkan, jangan lupa lekatkan kad ni sekali," pinta Along
sambil menyerahkan sekeping kad berwarna merah jambu.
"Boleh sahaja, tetapi, mana
kaudapat duit? Kau kerjakah?" Soal Fariz ingin tahu.
"Aku kerja di bengkel Abang
Joe. Jadi pembantu dia” Terang Along.
"Abang Joe mana ni?"
"Yang buka bengkel motor di
Jalan Selasih sebelah kedai makan pak cik kantin kita tu!" Jelas Along
dengan panjang lebar. Fariz mengangguk.
"Azam, kau hendak beri hadiah
ni kepada emak kau bila?"
"Hari ini." Balas Along.
"Ooo hari lahir ibu kau hari ni
ya?"
"Bukan, minggu depan"
"Habis? Kenapa kau tak tunggu
minggu depan je?" Soal Fariz lagi.
"Aku rasa hari ni saja yang
sempat untuk aku berikan hadiah ini. Lagipun, aku harap lepas ni ibu aku tak
marah aku lagi" Jawabnya sambil mengukir senyum. Along keluar daripada
kedai. Kelihatan hujan mulai turun. Namun Along tidak sabar menunggu untuk
segera menyerahkan hadiah itu untuk ibu. Sambil menunggang motorsikal, Along
membayangkan wajah ibu yang sedang tersenyum menerima hadiahnya itu.
Motorsikalnya sudah membelok ke Jalan Nuri II. Tiba di simpang hadapan lorong
masuk ke rumahnya, sebuah kereta wira yang dipandu laju cuba mengelak daripada
melanggar seekor anjing yang tiba-tiba muncul di depannya. Pemandu kereta itu
menekan brek dan mengelak tapi dek jalan yang licin, ia hilang kawalan. terus
merempuh Along dari depan yang tidak sempat mengelak. Akibat perlanggaran yang
kuat itu, Along terpelanting ke tengah jalan dan mengalami hentakan yang kuat
di kepala dan belakangnya. Topi keledar yang dipakainya mengalami retakan dan
tercabut daripada kepalanya. Along membuka matanya perlahan-lahan dan terus
mencari hadiah untuk si ibu. Dengan sisa kudrat yang ada, dia cuba mencapai
hadiah yang tercampak berhampirannya itu. Dia menggenggam kuat cebisan kain dan
kad yang terburai dari kotak itu. Darah semakin membuak-buak keluar dari
hidungnya. Kepalanya juga terasa sangat berat, pandangannya berpinar-pinar dan
nafasnya semakin tersekat-sekat. Dalam keparahan itu, Along melihat
kelibat orang yang sangat dikenalinya sedang berlari ke arahnya. Serta merta
tubuhnya terus dirangkul wanita tersebut. Dia tahu, wanita itu adalah ibunya.
Terasa bahagia sekali apabila dahinya dikucup saat itu. Along gembira. Itu
kucupan daripada ibunya. Dia juga dapat mendengar suara Angah, Alang dan Atih
memanggil-manggil namanya. Namun tiada suara yang keluar dari kerongkongnya
saat itu. Along semakin lemah. Namun, dia kuatkan semangat dan cuba menghulurkan
jubah dan kad yang masih di genggamannya itu.
"Ha..ha..hadiiiiah uuuntuk
iiiiiibu" Itu saja yang termampu diucapnya sambil berusaha mengukir
senyuman. Senyuman terakhir buat ibu yang sangat dicintainya. Sebaik habis
mengukir senyuman bahagia itu, Along terasa kesakitannya sudah tidak tertahan
lagi. Suara ibu, Angah, Alang dan Atih semakin sayup terdengar. Matanya sudah
sangat berbinar. Di gagahnya menahan matanya untuk terus menatap wajah ibunya
selama yang mungkin. Along sudah kelihatan hampir tidak sedarkan diri. Ibu
begitu cemas bercampur sebak dan sedih. Kepala dan tubuh Along dipeluknya
sambil dicium berkali-kali. Air matanya merembes keluar bagai tidak dapat
ditahan lagi. Pandangan Along semakin kelam. Sebelum matanya tertutup rapat,
terasa ada air hangat yang menitik ke wajahnya. Akhirnya, Along terkulai dalam
pangkuan ibu dan dia pergi untuk selama-lamanya. Along di bawa ke hospital dan
disahkan sudah meninggal dunia. Ibu menangis semahu-mahunya menyesali
tindakannya terhadap Along. Dia lebih menurut nafsu dan emosi. Along sudah
pergi untuk selama-lamanya. Tangisan dan penyesalan tidak akan mengembalikan
Along ke pangkuannya semula. Sebaik pengebumian jenazah Along, si ibu terus
duduk di sisi kubur Along bersama Angah, Alang dan Atih. Begitu juga perasaan
yang dirasai Angah, Alang dan Atih. Masing-masing berasa pilu dan sedih dengan
pemergian seorang abang yang selama ini disisihkan.
Sedang melayani perasaan
masing-masing, Fariz tiba-tiba muncul. Dia terus mendekati wanita separuh umur
itu lalu mencurahkan segala apa yang dipendamnya selama ini.
"Mak cik, ampunkan segala
kesalahan Azam. Azam tak bersalah langsung dalam kes pergaduhan itu mak cik.
Sebenarnya, waktu Azam dan saya sibuk menyiapkan lukisan, Malik datang mendekati
kami. Dia sengaja mencari pasal dengan Azam dengan menumpahkan warna air pada
lukisan Azam. Lepas tu, dia mengejek-ejek Azam. Dia memberitahu bahawa Azam
anak pembunuh. Bapa Azam seorang pembunuh dan dia jugak memberitahu, ibunya
iaitu mak cik sebagai seorang perempuan gila. Azam pukul Malik sebab tak
sanggup mendengar Malik menghina ibu dan ayahnya" Cerita Fariz dengan nada
sebak. Ibu terkejut mendengarnya. Terbayang di ruang matanya pada ketika dia
merotan Along kerana kesalahan menumbuk Malik.
"Tapi, kenapa arwah tidak
ceritakan pada mak cik, Fariz? Soalnya dengan sedu sedan.
"Sebab..Azam tidak mahu mak cik
bersedih dan teringat kembali peristiwa itu. Azam tidak mahu mak cik jatuh
sakit lagi, dia tidak mahu mengambil semua ketenangan yang mak cik ada sekarang
walaupun dia disalahkan, dia terima. Tapi dia tak sanggup melihat mak cik
dimasukkan ke hospital sakit jiwa semula" Terang Fariz lagi. Dia berasa
puas kerana dapat menyatakan kebenaran bagi pihak sahabatnya itu.Ibu terdiam
mendengar penjelasan Fariz. Lidahnya kelu untuk berkata-kata lagi. Terasa
seluruh anggota badannya menjadi Lemah. Berbagai-bagai perasaan mencengkam
hatinya. Sungguh hatinya terasa sangat pilu dan terharu dengan pengorbanan si
anak yang selama ini dianggap anak derhaka. Dengan lemah, wanita itu
mengeluarkan bungkusan yang hampir relai dari beg tangannya. Sekeping kad berwarna
merah jambu bertompok darah yang kering dibukanya lalu dibaca.
"Buat ibu yang sangat dikasihi,
ampunkanlah salah silap Along selama ini. Andai Along melukakan hati ibu, Along
pinta sejuta kemaafan. Terimalah maaf Along bu..Along janji tak kan membuatkan
ibu marah lagi. Ibu, Along sayang ibu selama-lamanya. Selamat hari lahir ibu
dan terimalah hadiah ini dari anakmu yang banyak menyusahkanmu. UNTUKMU
IBU!"
Kad itu dilipat dan dicium. Air
matanya sekali lagi melunjur deras berjurai membasahi pipi. Sekali lagi Ibu
menangis semahu-mahunya. Segala perasaan sedih, pilu, sayang, menyesal dan
marahkan diri bercampur baur di dalam dadanya. Setelah beberapa lama, Ibu
tenang semula. Di dalam hatinya Ibu berkata
"Ya Allah, Aku mohon ampun
padamu atas apa-apa yang sahaja kesalahan aku kepada anak ini. Kau saksikanlah
Ya, Allah bahawa aku meredainya sebagai anak yang soleh. Engkau tempatkanlah
Along anakku ini di dalam syurga-Mu yang kekal abadi!"
Mereka terus terkenangkan Along, sedangkan
di depan mereka di sebalik alam nyata, berdiri roh Along memerhatikan Ibunya
dan mereka. Along hanya tersenyum melihat keluarganya yang sudah menyaksikan
kebenarannya. Along berbahagia menerima kiriman doa yang sangat berharga dari
Ibunya.Roh Along terus terbang jauh-jauh menuju kesejahteraan dan kebahagiaan
yang sebenarnya di alam sana...